Wednesday, June 2, 2010

Teknologi pintar jimat elektrik

ARKIB : 10/05/2010

Teknologi pintar jimat elektrik


Mohammad Fadhil Abas menunjukkan sensor atau alat penderia yang dipasang di bahagian siling bilik yang diuji di sebuah bangunan di ump, pahang


Mengapakah kita perlu membayar tenaga yang kita bazirkan? Perbuatan ini memang tidak dapat diterima kerana tentunya merugikan. Lampu terpasang, kipas berpusing dan pendingin hawa menyejukkan bilik tanpa penghuni. Senario ini boleh berlaku di mana sahaja tanpa kita sedari.
Rumah, dewan, pejabat dan mungkin bilik kuliah di institusi pengajian tinggi, semuanya ruang yang kita gunakan tetapi akibat kelalaian, pembaziran boleh berlaku.
Menyedari kesilapan tersebut, Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengambil inisiatif untuk memulakan satu penyelidikan bagaimana mencari kaedah untuk menghentikan operasi peralatan dalam bilik kuliah seperti pendingin hawa dan lampu secara automatik jika tidak ada penghuni atau tidak digunakan.
Teknologi yang dinamakan Pengawal Lampu dan Pendingin Hawa Secara Pintar (SALC) dibangunkan berdasarkan kajian kes di universiti terbabit yang mana didapati ada cara penyelesaian untuk mengurangkan beban elektrik.
SALC dibangunkan dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE) dan Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (JPPH) universiti terbabit.
Kajian melibatkan sekumpulan penyelidik daripada fakulti terbabit iaitu Mohammad Fadhil Abas sebagai ketua, Norhafidzah Mohd Saad, Prof. Madya Shaikh Nasir Shaikh Ab. Rahman, Mohd Syawal Jadin dan Abdul Halim Mohd. Hanafi.
Menurut Mohammad Fadhil, kajian kes mendapati banyak pendingin hawa dan lampu di bangunan yang dikaji terpasang tanpa pengguna.
''Berdasarkan masalah ini, SALC dibangunkan dengan ciri-ciri yang membolehkan pengguna mengoperasi lampu dan pendingin hawa melalui alat pengawal atau sius peralatan terbabit," katanya ketika ditemui di kampus UMP Gambang , Pahang baru-baru ini.
Menurut beliau, kajian bermula apabila JPPH mendapati berlaku pembaziran dalam penggunaan elektrik dan data penggunaan elektrik telah diambil di beberapa bangunan.
Antara data yang diambil ialah kadar penggunaan lampu dan juga jumlah penggunaan dalam tempoh beberapa hari.
Data yang sama juga diambil bagi penggunaan pendingin hawa.
Langkah awal yang diambil ialah memasang timer di setiap papan pembahagian kuasa (DB) dan bekalan elektrik pada bangunan tersebut terpadam secara automatik pada pukul 11 malam.
Bagaimanapun kaedah tersebut tidak praktikal kerana suis perlu dipasang semula pada DB jika hendak digunakan sedangkan ia tidak boleh dilakukan kerana papan tersebut dikunci oleh JPPH.
Oleh itu, satu sistem lebih pintar diperkenalkan yang akhirnya membawa kepada penemuan sistem SALC yang lebih praktikal.
Beliau berkata, sistem tersebut mengandungi sensor yang boleh mengesan pergerakan manusia yang mana sekiranya tidak ada pergerakan dikesan dalam masa 10 minit, pendingin hawa dan lampu yang terpasang akan terpadam secara automatik.
Apa yang berlaku ialah litar yang menghubungkan setiap suis peralatan akan terputus jika tidak ada haba kesan dalam bilik tersebut .
Sistem penderia atau sensor tersebut merupakan jenis yang biasa terdapat di pasaran tetapi penemuan kajian tersebut lebih merujuk kepada bagaimana sistem terputus secara automatik apabila haba tidak dikesan dalam bilik berkenaan.
Beliau berkata, satu sistem tersebut boleh mengawal satu bilik yang mempunyai empat pendingin hawa atau kipas angin, empat buah lampu bersiri yang mana satu susunan bersiri untuk maksimum 100 x 36 Watt lampu 0.020 x 24 jam x 30 hari bersamaan 14.4kwh sebulan.
Oleh itu, kos operasi sebulan ialah 14.4kwh x 0.218 (harga) > RM3.14.
Kejayaan UMP tersebut sangat menarik kerana ia hanya memerlukan kos RM20,000 menerusi geran penyelidikan pengkomersialan UMP yang bermatlamat memberi sumbangan ke arah kesejahteraan masyarakat.
Menurut Mohammad Fadhil, sistem tersebut mudah dipasang pada bangunan tetapi adalah lebih baik dikendalikan oleh mereka yang berpengalaman.
"Teknologi ini mampu mengurangkan bil elektrik sehingga 30 peratus atau sekurang-kurangnya 10 peratus," katanya.
Pihaknya bercadang memasarkan teknologi tersebut untuk kegunaan domestik, industri dan juga lot-lot komersial seperti bangunan pejabat, bilik persidangan dan dewan kuliah.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0603&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_30.htm

No comments:

Post a Comment

Manfaat Dan Khasiat Buah Salak Untuk kesehatan

Manfaat buah salak bagi kesehatan buah salak memang sangat bermanfaat bagi kesehatan salah satu manfaat buah salak bagi kesehatan adalah u...